JellyPages.com

Love You To The Moon & Back

..We're born alone, we live alone, we die alone. Only through our love and friendship can we create the illusion for the moment that we're not alone..

Selasa, 11 Januari 2011

~surat CINTA buat ILLAHI~

Maha suci Allah yang maha pemurah lagi maha mengasihani, maha mengetahui segala yang terbaik buat hambaNYA. DariNYA kita didatangkan, kepadaNYA jua kita dipulangkan. Sesungguhnya seorang insan itu adalah sebaik baik ciptaan Allah. Dikurniakan akal dan fikiran yang indah sebagai menyempurnakan ciptaanNYA untuk kita, hambaNYA yang begitu kerdil dan naïf. Maha suci Allah yang lebih mengetahui apakah kedukaaan dan kekecewaan itu adalah kifarah atas kekhilafan kita dimasa lalu mahupun didatangkan ujian yang bermacam itu demi untuk meningkatkan cinta kita padaNYA. Subhanallah. Begitu tertib dan cantik takdir yang diberikan Allah buat setiap hambaNYA. Dianugerahkan rasa cinta, kasih sayang, dan rindu untuk mengharmonikan ummah adam dan hawa. Lantaran suburnya rasa yang tiga ini dalam diri seorang insan maka naluri yang tertanam subur dalam kalbu itu kian bercambah, lantas menyatukan dua hati. Maka lahirlah pohonan rendang subur yang dinamakan keluarga yang mana akhirnya menjadi teduhan generasi takwa, cahaya mata yang lahir hasil kasih sayang yang subur dibajai iman pada yang ESA.

aku Nana, baru 20 tahun mengecap nikmat kehidupan dimuka bumi indah ini. Aku berbangga kerana lahir menjadi anakanda tercinta ayahanda dan bonda. Sejak Lahirnya aku kedunia maka tidak pernah sedetik pun aku jauh dari curahan kasih sayang dan belaian istimewa daripada kedua-duanya. Maha suci Allah yang telah menganugerahkan aku ayah dan bonda yang begitu sabar mendidik aku dan saudaraku serta mengasuh aku dengan bekalan ilmu duniawi jua ilmu untuk ku bawa apabila bertemuNYA kelak. Jutaan syukur ku titipkan padamu ya Allah diatas kurniaan rasa bahagia dan tenang aku, berlindung didalam rumahku yang sangat bererti buatku itu. Beralihnya usia, maka semakin jauh kakiku melangkah. Maka sejauh itulah jua aku temui pelbagai ragam insan yang seringkali menduga kekuatanku padaMU ya Allah. Aku Nana yang lemah dan seringkali diriku ini rapuh dek hati yang tidak gentar menahan ujian yang begitu indah kau aturkan. Ya Allah, aku syukuri nikmatmu menganugerahkan aku akal yang telah membawaku kesini, ke menara gading impian ayah dan bonda. Berkat doa kedua duanya yang sering meniupkan semangat dan menitipkan ketabahan maka aku bersyukur kerana menggembirakan kedua duanya. Aku Nana dari keluarga yang sederhana namun bagiku kaya dengan ‘isi’ yang telah mencorakkan watak dan peribadiku kini. Maha suci Allah, hanya diriMU yang mengetahui sebaik baik dan seburuk buruk kejadian itu.

Subhanallah.

Ya rabbi, maka dengan usia ku ini jua pernah kutemui Arrijal yang hadirnya telah menyalakan rasa cinta, menyuntik kedalam darah merahku ini rasa rindu yang tidak bertepi kepada Arrijal itu. Namun, takdir yang telah kau aturkan itu sesungguhnya adalah tercantik dan punya hikmah tersendiri. Maka Arrijal itu pergi berlalu meninggalkan aku Nana dengan seribu kekecewaan. Ya Allah, bukan sedikit airmataku tumpah kerana kekecewaan itu. Bukan sedikit masa telah ku gunakan untuk menguatkan hati dan fitrah kasih ku ini agar kembali sebagaimana aku sebelumnya. Benar. Cinta pada manusia itu hanyalah secebis hebatnya berbanding agungnya cintamu itu ya Allah. Lalu ku ingatkan pada diri ini bahawa cinta Arrijal yang pernah ku anggap bakal menjadi tempat lindunganku dari fitnah dunia itu adalah ujian untuk ku. Maka dengan itu jua aku kini kembali teguh seperti Nana yang hidupnya senantiasa redha dengan takdir yang telah tertulis di luh mahfuzmu ya Allah. Dan kini, sekali lagi aku ditemukan dengan insan bergelar Arrijal yang telah menggegarkan naluri kewanitaanku. Namun, aku bermohon kepadamu ya Allah, moga kali ini andai aku jatuh cinta pun biarlah cinta itu keranaMU. Kerana, sesungguhnya cinta yang lahir atas namaMU itu adalah lebih bermakna dari cinta nafsu semata-mata.

Ya Allah, kini raut wajah ayah dan bondaku dipenuhi kedut-kedut indah yang begitu tenang. Raut wajah tua keduanya sering menjadi kekuatanku. Walid pernah berkata kala aku mengucup pipinya, ‘ along, diusia sebeginilah wafatnya Rasulullah. Maka dengan itu walid ingin along sentiasa tabah dan menjadi seorang muslimah yang berhaluan diri. Jangan sia-siakan hidupmu yang indah’. Lantas airmata ku berderai ke bumi. Ku kucup pipi dan dahinya bersama hati yang tidak terkata, pelbagai rasa yang tidak dapat kugambarkan disini. Ya Allah, andainya ajal ingin menjemput ayah bondaku, kau berilah peluang untukku berada disisi mereka. Ambillah mereka dengan tenang, beri peluang untukku menjaga dan membelai masa sakit mereka dengan penuh kasih sayang supaya dapat aku mengurangkan kesakitan saat ajal itu tiba. Aku juga bermohon moga diampunkan dosa keduanya. Dan, andai kiranya telah tertulis bahawa aku yang terlebih dahulu pulang kepangkuanMU, maka kau lindungilah keduanya. Ampunkan dosa-dosaku andai pernah mengguris luka dihati mereka. Ya Allah, maha suci tuhan yang mengatur ajal dan maut insan. Sesungguhnya aku Nana yang merindui syurgaMU nan indah. Kuatkan hatiku, kurniakan ketabahan berpanjangan agar dapat ku lalui masa hadapanku ini dengan redha dan istiqamah. Subhanallah. Walhamdulillah. Walaailahaillallah. Allahuakbar.

Suci Embun Pagi,Nana.....

Tiada ulasan: